Tuesday, May 17, 2011

Fahamkah kita?

Pelajar pondok:Agama itu, apa kiyai?

Lantas Kiyai itu menggesek biola mengalunkan lagu yang cukup merdu.

Kiyai:Apa yang kalian rasa?

Pelajar pondok:Keindahan
:Kaya
:Sepertinya, semua permasalahan itu seperti hilang kiyai
Kiyai: Itulah agama. Orang yang beragama adalah orang yang merasakan keindahan, tenteram,damai kerana hakikat agama itu mengayomi, menyelimuti.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Sepintas dialog antara seorang pelajar dan gurunya di sebuah pondok dalam filem Sang Pencerah.Dialog yang pasti memberi bekas bagi yang mendengar dengan mata hati.Bagaimana seorang kiyai memahami agama dan hikmahnya mengajar anak murid beliau untuk merasai kepentingan agama didalam hidup hinggakan ada yang terlampau asyik dengan alunan biola beliau.

Kefahaman di dalam Islam, hanya dapat kita capai sekiranya kita tidak main-main dalam memahami Islam itu sendiri. Dan kefahaman di dalam Islam, tidak dapat tidak perlu difahami keseluruhannya, tidak boleh setengah-setengah, tidak boleh mengambil apa yang kita suka sahaja. Kerana hal ini akan merobohkan sendiri diri kita apabila di hadapan mahsyar kelak.

Sejauh mana kita memahami al-Quran akan terpapar pada sosok tubuh kita sendiri.Sebelum kita beragama, hendaklah kita memahami agama kita terlebih dahulu, tidak dapat tidak kita perlu memahami al-Quran. Kefahaman ini dapat dicapai dengan blajar, membaca, menghadiri kuliah ilmu dan menyebarkan sendiri ajaran Islam. Cara pemakaian, cara bergaul, cara belajar, cara memimpin, semua ini sedang di nilai oleh mata yang memerhati kerana Islam tidak dinilai dengan paradigma yang parsial(tertentu) tetapi secara syumul.

Urgensi fiqh(faham) menurut Al-Quran


1.Perkataan fiqh diulang sebanyak 20 kali didalam al-Quran. Allah mengulangi perkataan ini bukanlah untuk suka-suka tetapi untuk memberitahu manusia bahawa kefahaman dalam al-Quran adalah tema penting.Ia memerlukan perhatian yang serius di dalam masyarakat Islam supaya kita dapat mengamalkan ajaran Islam dan menterjemahkan al-quran dalam bahasa kekinian atau dalam erti kata yang menunjukkan Islam itu relevan di zaman mana pun.

Umat akan menjadi lebih baik jika hari ini kita memahami Islam dengan lebih mendalam.

Justeru, Al-quran dan sunnah rasul sepatutnya menjadi dasar kepada setiap tindakan sehari-harian. Hakikatnya kita adalah seorang daie.

Baik ustaz, ustazah, guru, mahasiswa, perdana menteri,wartawan, ahli perniagaan atau siapapun kita, sekiranya mengucap dua kalimah syahadah kita adalah seorang pendakwah. Apa yang kita lakukan setiap hari seperti kita menyebut "ini adalah ajaran Islam yang dibawa Rasul". Maka penting bagi umat Islam untuk memahami agama itu sendiri supaya dapat menerangkannya dengan lebih baik.

2.Kebaikan umat Islam sangat berkait dengan kefaqihannya terhadap Islam. Rasulullah bersabda

"Barangsiapa yang dikehendaki baik oleh Allah, niscaya Allah akan memahamkannya dalam masalah agama"(HR Bukhari)

DR Ahzami Sami'un Jazuli menghurai hadis ini dengan memberi korelasi antara perkataan "fiqh" dengan kata "khair".

Kedangkalan kita memahami Al-quran menyebabkan tindakan kita menyimpang jauh dari syariat Allah. Lebih menambah luka umat, apabila tindakan itu dibuat atas nama mendedahkan kebenaran. Lihat saja akhbar, video lucah di bongkar di mata awam, badan wanita enak ditayang begitu saja tanpa ada pertimbangan agama. Dangkalnya kefaqihan umat juga menyebabkan tersalah fahaman erti moden,tamadun yang sebenar, lalu menyebabkan ketamadunan akhlak kering di tengah bangunan serba canggih. Lebih cenderung menjadikan barat sebagai kiblat keagungan tamadun manusia adalah satu kesilapan. Kiblat keberjayaan kita hanyalah ajaran Rasulullah dan sunnah yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad serta para sahabat. Allah telah berfirman:

"(Dialah)Tuhan timur dan barat, tidak ada Tuhan selain dia, maka jadikanlah Dia pelindung"(Al-Muzammil:9)


3. Agar keimanan dan keIslaman kita adalah benar di sisi Allah. Kita risau jika kita tergolong dalam orang munafik sekiranya tidak memahami Al-Quran secara faqih. Umat perlu mengambil Islam secara menyeluruh dan memasuki Islam secara keseluruhan.

"hai orang-orang yang beriman, masuklah kalian ke dalam Islam secara kaffah (keseluruhan). Dan jangan kalian mengikuti langkah-langkah syaithan, karena sesungguhnya syaithan itu adalah musuh yang nyata bagimu." (Al-Baqarah:208)

Justeru, fiqh-fiqh di dalam Al-quran perlu dipandang serius oleh segenap lapisan masyarakat. Dan penekanan ini perlu diberikan seawal dirumah, tadika dan seterusnya.


Kefahaman yang betul tentang Islam akan melindungi kita daripada virus-virus jahiliyyah yang melanda umat sekarang. Marilah kita berusaha memahami agama ini dengan sebenar-benarnya. Rujuklah ulama,ilmuwan yang terdekat dan muktabar. Mudah-mudahan kita dapat merasai damainya dan manisnya beriman kepada Allah SWT.

Wallahualam.

Monday, May 16, 2011

Selamat Hari Guru



"If a doctor makes a mistake, it will kill a life...but if a teacher makes a mistake, it will kill a generation!"

Begitulah besarnya ungkapan ringkas untuk menerangkan betapa besarnya tugas seorang guru memacu ummah ke arah kemajuan atau kemunduran.

Kata-kata akan habis, pena menulis akan kering, jari-jemari akan patah untuk menyusun ucapan terima kasih kepada sumbangan seorang cikgu kepada anak muridnya.

Dapatkah kita membaca Alif ba Ta, ABC dan mengira 123 hari ini jika tidak sabarnya seorang guru tadika mengajar kita.

Adakah dapat kita fahami pecahan 1/2, mengenal al-gebra dan mengenal Pencipta tanpa lidah petah seorang guru mendidik pelajarnya.




Tidak dapat tidak, seorang guru memainkan peranan yang tersangat dekat dengan kehidupan kita.

Tidak mampu saya membalas semua jasa cikgu, cuma ungkapan terima kasih sebagai tanda penghargaan anak murid kepada cikgu semua.

Terima kasih ibu ayah, guru pertama mendidik diri ini,
Terima kasih cikgu sekolah, kesabaran mengajar diri dengan segala susah payah,
Terima kasih para pensyarah, kesungguhan memberi panduan di alam serba baru,
Terima kasih naqib usrah, membimbing diri menongkah arus perjuangan.

Hanya Allah dapat membalas jasa kalian semua.
Semoga tetap terus mendidik bangsa mengenal Pencipta dan selok belok hidup yang serba serbi memberi cabaran kepada diri seorang insan.

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979


Thursday, May 5, 2011

Peranan Mahasiswa Islam di Sabah-sepintas lalu

Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Rabb mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk; dan Kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri lalu mereka berkata: “Rabb kami adalah Rabb langit dan bumi, kami sekali-kali tidak menyeru Ilah selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran. (QS. 18:13-14)

Merenung semula suasana masyarakat muslim di negeri Sabah, memberikan saya satu perasaan berat dan bersalah. Suasana masyarakat di sini yang masih lagi jauh ketinggalan dalam penguasaan asas-asas agama memberi kita satu indikasi bahawa pendakwah Islam untuk turun kepada mereka memberi bimbingan.

Masih lagi ramai masyarakat muslim di Sabah(yg saya sempat tinjau sekitar Inanam dan sekitar Kota Kinabalu) yang merangkak-rangkak untuk bersolat dan membaca al-fatihah. Pemandangan serupa ini kebanyakannya menimpa golongan orang tua(golongan ibu-ibu dan bapa-bapa kerana ada diantara mereka yang baru memeluk Islam dan ramai yang begini). Untuk anak-anak mereka, alhamdulillah, kebanyakannya sudah diajarkan asas-asas Islam di sekolah. Saya tidak berasa terlalu risau tentang tahap ilmu yang ada pada mereka tetapi yang merunsingkan saya adalah tahap amalan mereka terhadap ajaran-ajaran Islam.

Semasa awal saya bergiat dalam PSS, kebanyakan pergerakan saya adalah dengan masuk ke kampung-kampung dari Kg Kionsom Kecil di Inanam sehinggalah ke Kg Himbaan di Bundu Tuhan. Saya amat berterima kasih kepada naqib saya dan beberapa orang sahabat kerana membawa saya memandangkan saya tidak ada kenderaan pada masa itu(sekarang pun sebenarnya!). Program yang kami jalankan kadang-kadang amatlah mudah, sekadar menziarahi dan mengajar keluarga itu untuk berwuduk dan bersolat. Namun kesannya setelah beberapa kali lawatan berkala menunjukkan tanda-tanda positif apabila mereka sudah mula bersolat walaupun tidak betul-betul ingat pergerakan di dalam solat. Lawatan sekadar 1 jam lebih betul-betul mudah dan memberi kesan yang baik kepada penghayatan Islam di sini.

Namun, ketika itu sehingga kini, masih lagi ramai penggerak-penggerak di kampus semakin kurang kesanggupan untuk terjun kepada masyarakat membimbing mereka. Saya tidak menafikan program dakwah dikampus adalah penting, namun dalam realiti semasa ternyata rakyat di luar juga perlu kepada sentuhan dakwah para duat di kampus. Sekilas pandang semasa program-program anjuran ISEUMS, masjid atau yang lain-lain melihatkan kepada penyertaan yang ramai di kalangan mahasiswa. Penyertaan lebih ramai apabila program itu berbentuk keilmuan atau menadah kitab dari para ustaz. Tetapi sayangnya, ilmu yang dipelajari itu hanya terhad kepada mereka sendiri dan tidak ditumpahkan kepada yang lain, khususnya masyarakat sekeliling yang sangat ketandusan ilmu akhirat.


Pad pada permasalahan ini saya melihat solusinya jika mahasiswa Islam di Sabah dapat mencurah bakti menabur bukti di jalan Ilahi dengan sama-sama turun kepada rakyat untuk membimbing mereka ke jalan yang lurus. Justeru saya membuat beberapa saranan kepada seluruh mahasiswa Islam di seluruh kampus untuk:


1. Menyediakan diri dengan ilmu serta kefahaman yang benar dan sahih. Dapatkan kefahaman yang betul terhadap Al-Quran dan Sunnah nabi untuk dijadikan garis panduan kita dalam berdakwah. Kurangkan berbahas tentang isu-isu furuk dan lebih menumpukan terhadap dasar-dasar Islam itu sendiri.


2. Mengenali waqi' di Sabah. Bagi orang Sabah yang memang sudah arif tentang waqi di sini tidak menjadi masalah. Untuk penggerak yang berasal dari semenanjung, selalulah bertanyakan tentang keadaan di Sabah kepada mereka yang lebih mengetahui. Satu cara yang dapat disarankan adalah dengan terjun kepada masyarakat untuk melihat sendiri keadaan dan tahap kefahaman mereka di dalam asas-asas Islam. Sambil-sambil terjun bawalah naskah Al-quran dan buku asas-asas fardhu ain untuk mad'u.


3. Bersedia untuk berkorban. Tidak dinafikan bahawa kita mempunyai tanggungjawab akademik. Namun, harus diingat bahawa kita juga mempunyai peranan sebagai daie. Keadaan geografi di Sabah amat mencabar dan memerlukan pengorbanan yang lebih untuk berjalan dan sebagainya. Mungkin kita terpaksa mendaki bukit untuk mengajar mengaji kepada anak-anak orang dusun di Kobuni atau meredah gelap untuk ke rumah-rumah orang kampung di Penampang.


Banyak sebenarnya sumbangan yang dapat kita berikan kepada masyarakat Sabah dalam rangka untuk mengislahkan mereka. Mahasiswa tidak seharusnya terus beretorik di kampus dan hanya sekadar menjalankan program tetapi kita harus memandang lebih jauh daripada itu. Desakan pengaruh jahiliyyah yang semakin laju dan maju(kebanyakan rumah ada 'piring kelabu') bakal meninggalkan para daie yang masih lagi culas(penulis pun sedang 'struggle') untuk melihat masa depan Islam di negara kita.


Moga-moga Islam lebih cerah dengan penyertaan kita untuk menyemarakkan dakwah di Sabah.



Mahasiswa agen perubahan!

Wednesday, May 4, 2011

Minyak naik lagi?

Harga minyak RON97 meningkat semula dengan harga RM2.90 seliter. Peningkatan ini adalah peningkatan ketiga untuk tahun ini. Selaku seorang mahasiswa, saya memandang ini sebagai satu masalah perancangan dan pengurusan di peringkat kerajaan itu sendiri.

Melihat kepada 'pembaharuan' yang cuba dilakukan oleh kerajaan, ternyata kerajaan seolah-olah kurang mengkaji situasi rakyat dan akhirnya menambahkan masalah mereka. Sepanjang tahun 2011(sehingga Mei 2011), projek-projek mega yang menelan kos yang tinggi seolah2 dilakukan sebagai penyedap mata rakyat bagi kepentingan politik mereka.

Menara Warisan 100 tingkat, emel 1 Malaysia, projek nuklear di Pahang, seperti tidak mengambil kira kepentingan rakyat. Apa guna jika ada menara 100 tingkat tetapi rakyat masih lagi ada yang hidup setinggan. Lebih teruk lagi ada tanah yang dirampas dan rumah dirobohkan(kes ni berlaku di Sabah). Dimana kegunaan emel jika rumah pun tidak ada line internet? Projek Lynas yang tidak pernah dibentangkan hasil kajian kepada rakyat?

Lebih pelik lagi bila parti yang memegang tampuk utama pemerintahan negara sekarang seperti lebih menumpukan untuk mempertahankan kuasa sehingga lalai kepada kebajikan rakyat.

Harga minyak naik, harga barang naik.

Itu jika kita melihat kepada keperluan material.

Bagaimana isu akidah dan sosial masyarakat. Mungkin itu list paling akhir untuk difikirkan!

Jangan sampai rakyat NAIK MINYAK!


Tuesday, May 3, 2011

Malaysia jatuh lagi!

Daripada 196 negara, Malaysia menduduki tangga yang ke 143 dalam indeks kebebasan media. Filipina dan Indonesia jauh kelihatan dalam memberi kebebasan kepada media mereka untuk bersuara daripada Malaysia. Dalam projek transformasi pimpinan Dato' Najib Tun Razak, kelihatan seperti Malaysia sedang disediakan untuk menjadi negara MAJU.

Apakah ertinya negara maju material jika kebebasan rakyat menyuarakan pandangan kepada pemerintah dilihat sebagai ancaman kepada kuasa mereka. ternyata rakyat yang negara mereka yang memberi ruang yang lebih untuk bersuara mempunyai pendapat yang lebih terbuka dan progresif untuk penambah baikan kepada negara mereka. Berbanding kita, media hanya satu dan lebih teruk apabila tajuk-tajuk utama media semuanya menjerumus kepada politik tuduh menuduh serta tidak mendidik masyrakat menjadi intelek dan bijak berbahas.

Kita perlukan satu perubahan. Dan yang akan memimpin perubahan itu adalah rakyat sendiri. Hidup RAKYAT!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...