Thursday, July 26, 2012

Ramadhan:Kembara Diri Mencari Taqwa


Marhaban Ya Ramadhan

‘Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa, sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu menjadi orang yang bertaqwa’
(Al-Baqarah 2:182)

Hari ini 6 Ramadhan, bermakna sudah 6 hari umat Islam telah menjalani ibadah puasa yang menjadi rukun Islam ke empat. Bermakna sudah 6 hari rahmat Allah dan segala keistimewaan Ramadhan telah turun kepada sesiapa sahaja yang mencari keredhaan Allah Azza Wajalla.

Dan segala keistimewaan serta keredhaan Allah ini, hanyalah diturunkan kepada orang-orang yang beriman sahaja. Menurut Dr Mohd Asri Zainal Abidin(Dr MAZA), kewajipan berpuasa hanyalah kepada orang-orang yang beriman sahaja. Adapun orang yang tidak beriman; yang tidak mempercayai kitab Allah dan Rasulnya, atau yang engkar terhadap sebahagian dari kitabNya atau keseluruhan ayat dari surah-surah dalam Al-Quran, tidak diwajibkan untuk berpuasa pada hakikatnya kerana tidak termasuk dalam golongan yang Allah sebut sebagai orang-orang yang beriman.

Justeru, Ramadhan ini sekaligus, menjadi peringatan dan kesedaran kepada umat Islam bahawa apa yang paling penting di dalam Ramadhan ini adalah untuk meyegarkan kembali hati kita yang selama sebelas bulan yang lalu yang mungkin langsung lupa bahawa setiap amalan harian kita adalah untuk Allah SWT.

Persoalan yang kita perlu jawab setiap hari, sehingga akhir Ramadhan nanti adalah, adakah Ramadhan kali ini menjadikan kita seorang hamba yang bertaqwa?

Kerana pada akhir ayat kewajipan berpuasa di atas adalah satu matlamat yang Allah telah tetapkan untuk hambaNya supaya menjadi seorang yang bertaqwa, laallakum tattaquun.

Sifat orang bertakwa

Dalam satu dialog antara Umar Al-Khattab dan Ubay b Ka'ab, Umar Al-Khattab bertanya kepada Ubay b Ka'ab  apa yang dimaksudkan dengan taqwa?

Kemudian beliau menjawab dengan bertanya kembali kepada Umar, “Adakah tuan pernah melalui jalan berduri?

Umar menjawab, “Tidak pernah”

Lalu Ubay menerangkan kepada beliau dengan berkata, “Sudah tentu kita akan cuba mengelakkan diri kita daripada terkena duri-duri apabila kita melalui jalan itu. Begitulah makna taqwa dengan kita mengelakkan diri dari melampaui batasan-batasan Allah.

Taqwa berasal dari perkataan wiqaya yang bermaksud takut terjerumus. Orang yang bertakwa adalah orang yang sangat takut untuk terjerumus ke dalam jurang dosa yang dilaknat oleh Allah SWT. Mereka adalah orang yang sangat berhati-hati meniti hidup mereka agar stereng hidup menjadi lurus di jalan Allah dan tidak terbabas ke dalam neraka Allah, nauzubillah.

Orang yang bertaqwa begitu teliti dalam amalan supaya amalan mereka bertepatan dengan perintah Allah  SWT dan sunnah Rasulullah SAW.

Bulan tarbiyyah dan Ihya Sunnah

Secara formalnya, definisi puasa yang sering dihafal adalah menahan diri dari lapar dan dahaga serta perkara-perkara yang membatalkan puasa. Di dalam Ramadhan, kebanyakan dari kita sering berhati-hati dengan tindakan kita sehari-hari supaya puasa kita tidak terbatal dan mencuba sedaya upaya agar pahala puasa tidak berkurang.  Ada yang enggan gosok gigi kerana takut tertelan air, enggan berkumur,  takut nak korek hidung dan sebagainya, menunjukkan sikap umat yang menjadi lebih berhati-hati tatkala sedang berpuasa.

Inilah tarbiyyah dari Allah.

Bulan puasa melatih diri supaya lebih berhati-hati dalam perbuatan dan amalan harian. Namun, berhati-hati tersebut hendaklah kita lebarkan dalam perkara yang sama pentingnya kita menjaga puasa di siang hari supaya tidak terbatal. Bulan puasa juga mengajar kita supaya lebih bersungguh-sungguh dalam beribadat. Amalan sunat dihadiahkan pahala amalan wajib, dan amalan wajib dibalas pahalanya 70kali lipat. Umat Islam digalakkan untuk menambahkan bilangan solat sunat disamping memperbanyakkan membaca Al-Quran daripada amalan-amalan yang lain. Kesilapan umat kini apabila terlalu menumpukan kepada solat terawih sahaja, tetapi kurang mengerjakan solat-solat sunat yang lebih besar tuntutannya seperti solat sunat qabliyah dan ba’diyah, tahajud, taubat dan witir.

Disamping mengerjakan ibadah dengan bersungguh di bulan ini, saya juga ingin mengingatkan agar kita lebih berhati-hati dalam ibadah kita dengan cuba beramal berdasarkan sunnah semampu mungkin. Didiklah diri ini dengan mengerjakan sunnah Rasulullah SAW sebanyak mungkin. Hidupkanlah ibadah kita dengan hujah daripada sunnah baginda Rasulullah SAW. Di bulan ini kita melihat banyak rancangan yang mengajar kita tentang sunnah nabi. Molek sekiranya kita mengambil peluang ini untuk kita lebih jelas tentang ibadah harian supaya kita tidak hanya bertaklid dalam ibadah. Rasulullah menyebut ‘solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersolat..’.

Hidupkan sunnah Rasulullah kerana sunnah baginda adalah tarbiyyah terbaik kepada seorang mukmin dalam perjalanan mencari taqwa.

Mudah-mudahan beroleh TAQWA

Ketaqwaan kepada Allah tidak akan datang bergolek kepada orang yang hanya berlapar dan menahan haus sahaja. Taqwa itu perlu diusahakan dan perlu direbut. Sekadar menahan perut dan tekak tidak mencukupi di bulan yang mulia ini.

Nabi bersabda  yang maksudnya,

“berapa banyak orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa selain lapar dan dahaga”
(riwayat At-Thobroni).

Sepanjang 6 hari berpuasa, berapa susah sudah kita berusaha untuk menggapai darjat ketaqwaan kepada Allah?Adakah semakin meningkat amal ibadah dan kualiti puasa atau semakin biasa dengan bulan puasa sehingga tidak lagi merasakan ianya satu privilege kepada orang beriman.

Saya doakan agar diri ini dan diri kalian agar kita sentiasa luruskan niat untuk mencapai nikmat tertinggi seorang hamba Allah iaitu menjadi hamba yang muttaqin. Moga Allah membimbing kita.

Allahu ghoyatuna.


Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami beroleh dari isteri-isteri serta zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata (menenangkan hati), serta jadikanlah kami sebagai Imam bagi orang-orang yang bertaqwa”
Surah al-Furqan ayat 74:


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...