Wednesday, August 8, 2012

Nuzul Quran:Menjadi Pemuda Rabbani


“bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah" 
(Al-Baqarah:185).

Ramadhan dan Penurunan Al-Quran

Segala puji kepada Allah SWT yang menghidupkan diri kita supaya sempat memohon taubat kepadaNya akan dosa-dosa yang telah dilakukan sepanjang Ramadhan. Selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW yang telah menjadi qudwah terbaik sepanjang zaman Baginda dan zaman-zaman selepasnya, yang dengan beriman dengan baginda menjadi rukun penting untuk melegitimasi(legitimate) iman kita kepada Allah SWT. Dalam fasa ketiga bulan puasa yang selalu disebut fasa kebebasan daripada api neraka, kita bersyukur kerana masih diberi peluang oleh Allah untuk memecut menambah kualiti dan kuantiti ibadah seharian.Harapannya solat-solat sunat yang dapat shoot-up sehingga berbelas-belas malah puluhan rakaat di bulan Ramadhan ini dapat diistiqamahkan  pada bulan selepas ini.

Antara kelebihan bulan Ramadhan, seperti yang dimaklumi umat adalah peritiwa penurunan Al-Quran atau disebut sebagai Nuzul Quran. Menjadi tradisi umat Islam di Malaysia untuk menyambut peristiwa penting ini pada 17 Ramadhan setiap tahun. Nuzul bererti penurunan ataupun perpindahan dari tempat yang tinggi ke tempat yang rendah atau dari atas ke bawah. Allah menurunkan Al-Quran sebagai mukjizat teragung kepada baginda Nabi Muhammad SAW supaya dengan itu baginda memimpin umat ke jalan yang lurus sebagaimana firman Allah;

"Sungguh Al-Quran ini menjadi petunjuk kepada jalan yang paling lurus(agama Islam) dan memberi khabar gembira kepada orang mukmin yang mengerjakan kebajikan,bahwa mereka akan mendapat ganjaran yang besar"
(Al-Isra':9)

Justeru, pengajaran besar dari peristiwa nuzul quran adalah untuk mengajak kembali umat kembali kepada ajaran sebenar Islam dan menjauhi segala fahaman atau ideologi yang menodai kesucian dan ketinggian Islam itu sendiri sedangkan seluruh makhluk dilangit dan dibumi menyembah kepadaNya;

"Maka mengapa mereka mencari agama yang lain selain agama Allah?Padahal apa yang dilangit dan dibumi berserah diri kepadaNya, (baik) dengan suka mahupun terpaksa dan hanya kepadaNya mereka dikembalikan"
(Ali-Imran:83)

Islam tidak akan mampu berdiri dan menjadi tertinggi sekiranya umat masih memahami dan mengamalkan Islam secara separuh-separuh.

Mengaji dan Mengkaji

Al-Quran bererti 'bacaan' ataupun 'himpunan'. Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur dalam tempoh masa 23 tahun, 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah. Terlalu besar hikmahnya seperti yang dinyatakan oleh para ulama dan antara hikmahnya adalah supaya umat dapat mengamalkan setiap kandungan Al-Quran. Seperti yang dinyatakan oleh Ibn Abbas R.A, hal ini tidak akan dapat dilakukan sekiranya Al-Quran diturunkan sekaligus.

Aktiviti bertadarus dan tilawah Al-Quran adalah sangat digalakkan dalam bulan yang mulia ini. Disamping kita mengaji Al-Quran dalam halaqah-halaqah tadarus, alangkah baiknya jika kita juga mengambil sedikit masa untuk mengkaji atau mentadabbur ayat-ayat Al-Quran yang kaya dengan khazanah ilmu. 

Generasi sahabat dan zaman khalifah Islam yang gemilang dilatari oleh ghairahnya generasi ini;ulama',umara' mahupun rakyat biasa mengkaji Al-Quran dan meletakkan Al-Quran itu didalam hati mereka. Generasi ini adalah generasi yang ditarbiyyah oleh Al-Quran sehinggakan Saidina Ali pernah berkata jika ingin mencari barang yang hilang pun beliau akan mencarinya dalam Al-Quran. Begitu akrabnya generasi ini dengan Al-Quran menjadi pedoman kepada kita untuk kembali semula mengaji dan mengkaji ayat-ayat Al-Quran seterusnya menjadikan panduan di dalam kehidupan.

Hanya Al-Quran dan sunnah nabi yang akan menjadi panduan kepada kita untuk membezakan mana yang hak dan mana yang batil. Nabi pernah bersabda 'Aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara yang dengannya kamu tidak akan sesat, Kitabullah dan sunnahku".

Pemuda yang berada dalam gerakan Islam seharusnya lebih menjiwai Al-Quran dan sunnah Nabi kerana ini adalah modal dan produk yang ingin kita sematkan dalam hati umat. Beridealisme dengan idealisme Al-Quran dan beraktivisme dengan sunnah Nabi dan para sahabat serta khalifah-khalifah agung dalam sejarah Islam. 

Pengkajian kita tidak seharunya terhad di kelas sahaja malahan perlu dibawa ke lapangan. Mudah-mudahan kita sentiasa bersemangat untuk membawa dakwah ini ke tahap yang lebih tinggi.



Pemuda Rabbani

Peristiwa Nuzul Quran meyeru umat supaya kembali menatap Al-Quran secara bersungguh-sungguh agar segala permasalahan dan fitnah yang melanda umat dapat diselesaikan. Namun, proses untuk mengembalikan umat ke jalan yang benar ini adalah menjadi tanggungjawab kepada ahli gerakan Islam, khususnya pemuda yang sentiasa menjadi penggerak utama dakwah. Oleh itu, tema penting kepada setiap anak muda, termasuk penulis adalah untuk memperkasakan diri dengan ilmu dan tarbiyyah yang akan membantu kita untuk berjuang fisabillah. Marilah kita berusaha membina pemuda yang tinggi ilmu, mantap tarbiyyah dan baik akhlak untuk menghadapi musuh Allah dan golongan penzalim massa.

Justeru, pemuda yang telah berbaiah untuk menjadi penegak agama Allah harus mempunyai beberapa karateristik seperti firman Allah surah Al-Kahfi, ayat 13;

1. Mereka adalah pemuda yang terhimpun oleh keimanan kepada Allah(innahum fityatun aamanuu birabbihim')

Keimanan yang mantap ini lahir dari tarbiyyah. Tarbiyyah hanya boleh diperolehi dengan jihad dan semangat juang yang tidak pernah redha. Keimanan harus digilap dengan ketakwaan kepada Allah. Ramadhan yang melatih diri menumpukan iman kepada Allah SWT seharusnya menjadi titik mula dan titik muhasabah pemuda setahap mana iman diri ditingkatkan. Bergeraklah dalam harakah Islamiyyah kerana itu adalah tuntutan.

2. Mereka mendapat rahmat, hidayah dan lindungan Allah(wazidnaahu huda)

Hidayah,bantuan dan perlindungan Allah hanya turun kepada pemuda yang berjihad. Tiada berita lebih menggembirakan daripada bantuan daripada Allah dan tiada nikmat lebih hebat daripada mendapat hidayah daripada Allah.Kepada Allah kita berserah dan kepadaNya kita berharap. Pertingkatkan ibadah dalam fasa terakhir Ramadhan ini supaya kita tidak terlepas malam yang lebih baik dari seribu bulan. 

3. Mereka adalah pemuda yang memang belum banyak pengalaman dalam menghadapi ujian tetapi mereka mendapat kasih sayang dan rahmat Allah berupa keteguhan dan kesatuan hati(warabathnaa 'alaa qulubihim) serta tidak gentar untuk menyatakan akidah mereka walau diancam(faqalu rabbuna rabbussamaa wati wal ardh, lannad'u min dunihi ilaha)

Pemuda adalah lokomotif kepada gerakan. Yang siap berdemo dan turun ke kawasan melawan kezaliman dengan penuh semangat tentulah pemuda yang mempunyai darah panas untuk dakwah. Amat malang bagi pemuda yang penakut dan hanya ingin berdakwah dalam dewan kuliah tanpa memikirkan resah gelisah umat dilapangan. Hak yang dizalimi, saudara yang ditindas adalah antara agenda Islam yang perlu difikirkan dan digerakkan bersama. Seafdhal jihad adalah berani berdada dengan kezaliman pemerintah.



Kembali kepada matlamat:La'allakum Tattaquun

Ayuh sahabat, kita gerakkan Islam dengan jiwa-jiwa kita dan menjadikan agenda Islam agenda utama dalam hidup kita. Perjuangan ini adalah tuntutan dan bukannya pilihan. Syurga itu pada orang yang memilih untuk berjihad dan bukannya untuk berehat.



"Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang mudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: "Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu)"
(At-Taubah:42)

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...