Wednesday, October 26, 2011

Pra Kongres Gerakan Mahasiswa Sabah 1.0

Salam mahasiswa,

Sebelum sampai hari berlangsungnya Kongres Gerakan Mahasiswa Sabah 1.0, ya, yang pertama
kali dilakukan di Sabah, terdapat beberapa perkara yang perlu dinilai semula mahasiswa.

Penilaian yang disebutkan disini adalah dari sudut idealisme dan aktivisme mahasiswa itu sendiri, kerana dengan dua perkara ini jika diadun dengan baik maka akan melahirkan mahasiswa yang matang, progresif dan tahan uji.

Selaku seorang mahasiswa, ramai berpendapat bahawa tugas kita disini hanya untuk belajar, mengejar CGPA yang paling tinggi. Adapun yang menyertai persatuan seperti perwakilan pelajar MPP atau JAKMAS demi mendapat cop pasport untuk kediaman semester hadapan. Ini adalah satu pemikiran dan tindakan biasa untuk mahasiswa di rata-rata universiti.

Walaupun saya tidak pasti adakah universiti lain menggunakan kaedah yang sama untuk 'memaksa' mahasiswa menyertai aktiviti anjuran HEP atau MPP itu sendiri atau universiti saya sahaja menggunakan cara itu(cop paspot dan segala sistem yang sama). Mudahnya, mahasiswa menyertai persatuan untuk dirinya sendiri dan lebih cenderung untuk duduk selesa di bawah sistem.Ini juga pemikiran yang sebenarnya dibentuk oleh universiti, mungkin.

Saya masih ingat ketika di tahun satu, saya antara mahasiswa yang rajin turun ke program demi mendapatkan cop pasport kerana saya dimaklumkan benda itu akan memastikan saya terus berada di dalam universiti. Selaku seorang mahasiswa daripada semenanjung, pastinya saya
perlukan tempat di kolej untuk mengelakkan menyewa di luar yang kosnya sudah tentu tinggi. Jadi sudah tentu saya mengejar benda itu.

Tidak dinafikan program yang disertai memang baik, tetapi lebih kepada suap menyuap antara pembentang/penceramah dan juga mahasiwa. Program yang mengajak mahasiswa membuka minda amat terhad dan boleh dikatakan tiada. Program ini hanya program biasa yang menjadi takwim tahunan tanpa ada penambahbaikan dari mana-mana pihak.

Maka perkara ini menjadi persoalan berat.

Sejauh mana budaya berfikir yang akhirnya membentuk suatu idealisme diterapkan di kampus?

Kerana mahasiswa tidak pernah didedahkan untuk berfikir mengikut rentak mahasiswa itu sendiri, mahasiswa menjadi mahasiswa kaku. Sama saja dari tahun satu sehingga tahun akhir walaupun lambakan program membina modal insan. Natijahnya mahasiswa menjadi 'self-centered' dan tidak menyumbang. Saya tidak mempunyai statistik di sini untuk menunjukkan kepada anda berapa banyak mahasiswa yang keluar menjadi pendokong dan pencerah kepada intelektual masyarakat diluar sana, tetapi apa yang saya pasti mahasiswa apabila keluar tidak banyak yang menCERAHkan masyarakat.

Terdapat juga mahasiswa yang telah disapa dan dibuka mindanya. Namun, perjuangan yang dilaungkan adalah bermusim. Apabila tiba PRK, maka dapat dilihat dua kelompok yang berbaju merah dan oren.

Kerana terbiasa dengan paksaan agaknya, apa yang dihidangkan oleh pentadbiran, itu jugak yang dimakan oleh mahasiswa tanpa bertanya halal haram, relevan atau tidak, perlu tak perlu. Ini juga dimakan oleh kelompok yang sedar akan realiti semasa tahap intelektual mahasiswa. Ini lebih kritikal. Dan perlu muhasabah khusus bagi menampar yang sedang lena dibuai angin.

Sangat malang apabila mahasiswa dengan segala keupayaan yang ada disekeliling kita, tiba-tiba memilih untuk tidak mahu berfikir dan berbincang lebih daripada hal yang ada di dalam kocek kita. Yang berbincang lebih pun mungkin pimpinan kampus tetapi bila kepada peringkat ahli, pudar perbincangannya. Masih berkira-kira dengan jadual sendiri. Kita memilih untuk redha kepada perkara yang tidak sepatutnya diredhai dan akhirnya yang terluka adalah negara.

Ini memerlukan pencerahan yang sebenar.

Mahasiswa adalah kelompok anak muda yang mempunyai tenaga dan minda yang masih segar. Idealisme yang dilaungkan adalah satu kemahuan yang jujur dari mahasisa yang inginkan negara mereka menjadi lebih baik.

Gerak geri mahasiswa adalah yang boleh menggegarkan dunia jika kita berjaya membuka minda kita terhadap perkara yang benar dan perkara yang perlu. Tugas mahasiswa adalah untuk berfikir dan bertindak. Tatakala cabaran hidup sedang ruwet dan kondisi politik yang semakin tidak tentu arah sehingga menimbulkan jemu, kebejatan sosial yang membuncah, dan tekanan ekonomi akibat defisit negara yang semakin meningkat, idealisme mahasiswa sangat diperlukan.

Bukan sekadar check and balance, tetapi menghasilkan solusi. Mungkin ramai yang akan katakan ini adalah penyataan yang terlampu idealist untuk mahasiswa, tetapi bagi saya ini adalah satu garapan kepada mahasiswa untuk sama-sama berfikir!Kekurangan yang paling ketara pada masa sekarang. Inilah perkara yang harus dicapai oleh mahasiswa, khususnya di Sabah.

Sehubungan dengan kongres yang bakal diadakan, saya mengajak mahasiswa untuk membuka minda demi melihat arus kebangkitan anak muda negara. Diharapkan kongres yang akan diadakan dapat menyuntik idealisme kepada mahasiswa Sabah.

Biarlah laungan 'Hidup Mahasiswa' terus bergema di kampus kita!











No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...