Thursday, December 9, 2010

Salam Maal Hijrah

"APABILA dilontarkan soalan mengenai urutan nama-nama bulan Islam kepada 10 anak muda kini, tidak mustahil sembilan daripada mereka terdiam atau tergagap-gagap menyebut satu demi satu bulan Islam.

Sementara yang seorang lagi pun, mungkin berjaya menamakan bulan-bulan Islam selepas menyanyi perlahan sebuah lagu bertajuk Bulan-bulan Islam nyanyian kumpulan nasyid Alarm Me yang pernah dihafalnya ketika di bangku sekolah.Bagi kebanyakan anak muda, mereka sekadar tahu nama bulan-bulan tertentu yang melibatkan perayaan seperti bulan Ramadan, Syawal, Muharam dan Zulhijjah.

Senario sebegitu adalah gambaran umum mengenai betapa jauhnya takwim Islam di hati anak-anak muda kini berbanding takwim Masihi yang kita gunakan setiap hari.Jika ada antara kita yang menghafal bulan-bulan Islam sekali pun, mungkin ada segelintirnya yang tidak tahu mengenai sejarah takwim Islam itu sendiri.


Bila ia bermula dan siapa yang mencetuskan takwim tersebut?


Hijrah Rasulullah



Menurut Ketua Penolong Pengarah Cawangan Falak, Bahagian Penerangan dan Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Che Alias Che Ismail, kalendar Islam ataupun takwim Hijrah dimulakan oleh Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar al-Khattab.Peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah telah dijadikan asas kepada penetapan permulaan sambutan Maal Hijrah, kalendar Islam ataupun takwim Hijrah.

Asas pembinaan takwim Islam sebenarnya telah digambarkan di dalam al-Quran iaitu Surah Yunus Ayat 5 yang bermaksud:

‘Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-pindah) pada tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa.‘Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-Nya (tanda-tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya.

'“Sebelum dilaksanakan penetapan takwim Hijrah ini dan semasa hayat Rasulullah SAW, takwim yang digunakan ialah sistem takwim Qamariyah (sistem hitungan bulan). “Penentuan tahun pula dirujuk kepada tahun berlakunya sesuatu peristiwa atau kejadian seperti tahun gajah, peperangan al-Fijar, tarikh pembinaan Kaabah dan sebagainya. Cara penetapan sedemikian tidak boleh dijadikan pegangan kerana catatannya tidak menggunakan kaedah yang tetap dan seragam,” jelasnya.

Tambah Che Alias, segalanya bermula pada tahun 17 Hijrah iaitu tahun keenam selepas kewafatan Rasulullah SAW. Saidina Umar al-Khattab bersetuju dengan cadangan Saidina Ali Abi Talib supaya menjadikan tahun Rasulullah SAW berhijrah sebagai tahun pertama bagi takwim Hijrah.Saidina Uthman Affan pula mencadangkan supaya bulan Muharam adalah bulan pertama dalam sistem takwim Hijrah walaupun tarikh sebenar Rasulullah berhijrah adalah pada akhir bulan Safar dan tiba di Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiul Awal bersamaan 24 September 622 Masihi.
(gerbangkaca.blogspot)


Itu serba ringkas sejarah yang dapat saya cari di internet. walaupun ringkas diharap dapat memberi pengetahuan kepada kita bagaimana generasi para sahabat berusaha menjadikan ISLAM sebahagian daripada hidup umat. Mereka tidak hanya berfokus membangun Islam hanya kepada pembinaan masjid-masjid tetapi turut membangun ISLAM sebagai satu SISTEM hidup.

Benarlah firman Allah "Wahai orang-orang yang beriman masuklah kedalam ISLAM ke SELURUHANNYA".

Moga azam tahun baru kita mampu membawa kita selangkah lebih dekat kepada Ilahi.

Selamat berhijrah!

Wallahualam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...